Terima Kasih Tukang Jaga Lalu Lintas

“Bukan kedudukan, tetapi sikap kita yang menentukan sama ada kita bahagia atau tidak”~Anonymous

 

Barisan panjang kereta di jalan raya tidak bergerak. Jam pada dashboard kereta sudah menunjukkan angka 5:30 petang! Ini kali ketiga saya lambat menjemput anak dari nurseri minggu ini. Penjaganya pasti marah. Tetapi apakan daya saya bukan sengaja saya mahu lambat. Hari ini semuanya tidak kena. Daripada bateri kereta yang mati pagi tadi kepada setiausaha saya yang MC, menyebabkan semuanya huru hara. Kini kesesakan trafik pula melengkapkan lagi hari yang memang sudah sememangnya teruk.

 

Saya hanya mahu pulang, mandi dan berehat di rumah. Tetapi sudah tentu anak-anak dan suami mahu saya memasak, membantu mereka buat kerja sekolah, dan melayan macam-macam lagi karenah mereka.

 

Saya mengeluh panjang. Akhir-akhir ini hidup saya terasa seperti satu kitaran tanpa henti. Kerja pejabat, kerja rumah dan tidur. Itu sahaja. Pasti ada sebab dan maksud lain bagi kehidupan kita di dunia ini. Agaknya saya begitu sibuk dan letih untuk mencarinya.

 

Kemudian saya ternampak beliau. Si penjaga lalu lintas itu berdiri seorang diri. Hampir tidak kelihatan sekiranya bukan kerana vest oren yang dipakainya. Beliau berdiri di tengah-tengah jalan, di antara banyak kereta yang lalu-lalang, bersabar mengarahkan empat laluan kenderaan menjadi satu. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena pada si penjaga lalu lintas ini. Apabila kereta saya makin mendekat, baru saya sedar apa dia.

 

Beliau sedang berdiri di tengah-tengah berpuluh-puluh kenderaan dengan pemandu yang sudah letih, bosan dan geram tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Baju beliau sudah lencun dibasahi hujan. Dibasahi pula dengan air lecak setiap kali kenderaan melepasi beliau. Walaupun begitu, beliau tetap senyum. Beliau bukan sahaja senyum pada setiap pemandu yang melepasinya tetapi turut melambai kepada mereka. Tidak ramai yang melambai balik tetapi hampir semua orang membalas senyumannya.

 

Saya menunggu giliran kenderaan saya. Saya mula berasa malu. Sekiranya lelaki ini yang memang kerjanya sepanjang hari berdiri kesejukan dalam hujan masih mampu tersenyum dan melambai-lambai kepada semua orang, apakah alasan saya mahu merungut mengenai kehidupan saya?

 

Saya berfikir balik apa yang menanti saya di rumah. Sebuah rumah yang selesa, makanan yang baik dan sihat, yang Cuma tunggu disiapkan sahaja. Dan yang penting seorang suami dan anak-anak yang menyayangi saya.

 

Keesokan paginya? Hari esoknya saya berpeluang menggunakan kemahiran dan kepandaian saya bagi menyelesaikan kerja yang penting dan berguna. Bagaimana kehidupan saya? Sebenarnya saya bertuah dan memiliki kehidupan yang baik.

 

Akhirnya sampai giliran saya melepasi si tukang jaga lalu lintas itu. Saya membalas lambaian beliau. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau dengan harapan beliau faham gerak bibir saya. Beliau senyum dan mengangguk. Saya terus memandu dengan sikap dan semangat yang baru.

 

-Jennie Ivey

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s